“Put your money toward classes, seminars and books that will make you more successful.”Steve Siebold

Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Saturday, August 06, 2011

Perubahan Cara Hidup Bagi Pesakit Diabetis

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.
  • Pemakanan
    Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.
  • Senaman
    Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.
  • Penjagaan berat badan
    Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.
  • Pemeriksaan diri sendiri
    Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.
Pemeriksaan Doktor dan Ubat
Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.

Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
- Jangkitan kuman atau kencing kotor
- Kerosakan buah pinggang
- Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.

Puasa Pesakit Diabetis

DIABETES Mellitus (DM) adalah penyakit kronik di mana terdapat kadar gula berlebihan di dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin iaitu hormon yang berperanan mengawal paras gula dalam darah, baik secara kuantiti (insulin berkurangan) atau kualiti (insulin tidak berkesan).
Mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Kedua pada 1996, lebih 1.5 juta penduduk negara ini menghidap diabetes. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta terdiri daripada mereka yang beragama Islam yang secara amnya bertanggungjawab untuk berpuasa di bulan Ramadan.
Persoalannya, bolehkah pesakit diabetes berpuasa sedangkan mereka terpaksa begantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin setiap hari untuk mengawal penyakit?
Pesakit diabetes yang beragama Islam bolehlah mengikuti panduan berikut, yang dipetik daripada persidangan yang menggabungkan pemikiran para ulama Islam dan doktor perubatan moden.
Siapa yang boleh dan tidak boleh berpuasa?
Secara umumnya, pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan diabetesnya terkawal serta tidak memerlukan insulin memanglah digalakkan berpuasa.
Walau bagaimanapun, pesakit diabetes yang tidak terkawal paras gulanya dan tidak mengambil ubat-ubatan atau suntikan insulin seperti yang disyorkan oleh doktor mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk berdepan dengan komplikasi jika berpuasa.
Antara pesakit diabetes yang tidak digalakkan berpuasa termasuklah;
· Penyakit diabetesnya tidak stabil. Dibimbangi ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti dehidrasi (kekurangan air), jangkitan kuman dan koma.
· Mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
· Kerap mengalami komplikasi diabetik ketoasidosis (lebih cenderung bagi pengidap Diabetes Jenis I dan pesakit yang menggunakan suntikan insulin).
· Kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah).
· Sedang mengalami jangkitan kuman.
· Warga tua dan tinggal bersendirian.
· Hamil yang memerlukan suntikan insulin.
· Berusia di bawah 12 tahun.
Pesakit diabetes yang ingin berpuasa mestilah bersahur, menyegerakan berbuka puasa, makan ubat/menyuntik insulin mengikut nasihat doktor, mengawasi penyakit diabetes dan kesihatan mereka secara umumnya dan peka dengan tanda-tanda hipoglesemia, hiperglisemia (gula berlebihan dalam darah) dan dehidrasi.
Mereka harus segera berbuka apabila mengalami samada hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Adalah haram untuk pesakit meneruskan puasa kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan. Jangan sekali-kali mengubahsuai dos ubat atau insulin dan waktu ia harus dimakan/disuntik tanpa rujukan doktor.
Mengenal pasti keadaan hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi
Hipoglisemia
Hiperglisemia
Dehidrasi
Menggigil
Terlalu lemah
Amat lapar
Berpeluh
Pucat
Berdebar-debar
Gelisah
Koma (tidak sedarkan diri)
Kerap buang air kecil
Terlalu dahaga
Sangat letih
Amat dahaga
Kulit dan lidah yang terlalu kering
Fikiran terganggu



Diet - Elakkan makan berlebihan ketika berbuka puasa dan pada waktu malam. Karbohidrat dan makanan berlemak boleh menambahkan berat badan serta menyukarkan kawalan diabetes.
Panduan kepada pesakit diabetes yang dibenarkan berpuasa
Sahur
Berbuka
Sekurang-kurangnya semangkuk oat/bijirin ATAU
3-4 keping roti ATAU
Nasi dan lauk (lebihkan sayur-sayuran)
Hadkan pengambilan air bergula, kuih-muih manis.
Jika memakan kurma, hadkan kepada dua hingga tiga biji sahaja.
Kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan sayur-sayuran.
Senaman – Melakukan aktiviti fizikal yang ringan ketika berpuasa tidak akan mendatangkan kemudaratan. Perubahan terhadap diet dan ubat-ubatan ketika bersahur harus dibuat (mengikut nasihat doktor) bagi mengelakkan hipoglisemia.
Ubat – Dapatkan nasihat doktor tentang pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat. Sebagai panduan, dos ubat-ubatan seperti glibenclamide, gliclazide, glipizide, chlorpropamide dan Acarbose yang di ambil sebelah pagi pada kebiasaannya di hari tidak berpuasa, ditukar masa pengambilannya ke waktu berbuka puasa.
Dos yang diambil sebelum makan malam malam sewaktu tidak berpuasa pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengurangan dos yang diambil mungkin perlu untuk mengelakkan hipoglisemia.
Ubat seperti repaglinide perlu dimakan pada waktu bersahur dan berbuka puasa. Metformin dan Rosiglitazone secara amnya kurang mengakibatkan hiploglisemia dan selalunya tidak memerlukan perubahan dos.
Insulin – Dos dan waktu insulin disuntik harus diubahsuai mengikut arahan doktor berdasarkan ujian tahap gula dalam darah yang dilakukan pada permulaan puasa seperti berikut:
Tiga kali suntikan insulin: Dua dos insulin yang bertindak segera (short-acting insulin) ketika berbuka dan sebelum bersahur. Ini diikuti dengan satu dos insulin yang bertindak lama (intermediate acting insulin) sebelum tidur.
Dua kali suntikan insulin: Satu dos insulin yang sudah dicampur (premixed insulin) ketika berbuka puasa. Dos yang diperlukan adalah sama seperti dos yang diberika pada waktu pagi di hari tidak berpuasa. Satu dos insulin yang bertindak segera pula diberi sebelum bersahur .
Pada permulaan bulan puasa, tahap gula dalam darah perlu diuji pada waktu-waktu berikut:
· Sebelum bersahur
· Dua hingga empat jam sebelum bersahur
· Sebelum berbuka puasa
· Dua hingga empat jam kemudian
Perkara lain yang perlu diberi perhatian
Pesakit yang memerlukan insulin perlu menjalani ujian ketone di dalam air kencing atau darah, sekiranya tahap gula di dalam darah mereka terlalu tinggi. Langkah ini dapat mengelakkan berlakunya koma diabetik ketoasidosis. Pesakit ini juga mesti segera berbuka puasa.
Awasi berat badan di sepanjang bulan puasa. Pertambahan lebih dua kilogram perlu dimaklumkan kepada doktor. Jika dalam satu hari berat badan didapat berkurangan 3%, pesakit mestilah segera berbuka bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dehidrasi yang serius.
Banyakkan minum air tetapi elakkan minuman manis. Gantikan air yang hilang ketika membuang air kecil di tengah malam dengan meminum air.
Dengan pengawasan yang baik, ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan selamat oleh pesakit diabetes. Pesakit perlu menjaga diet ketika berbuka, bersahur dan mendapatkan nasihat doktor berhubung pengubahsuaian dos dan waktu ubat/insulin harus dimakan/disuntik. Pesakit perlu peka terhadap tanda-tanda hipoglisemia atau dehidrasi. Sekiranya ia berlaku, pesakit mestilah segera berbuka puasa.
Sumber: Artikel asal disediakan oleh A/Prof Dr Nor Azmi Kamarudin, Klinik Diabetis dan Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan diterbitkan untuk pendidikan ehsan oleh Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd.