“Put your money toward classes, seminars and books that will make you more successful.”Steve Siebold

Daisypath Vacation tickers

Daisypath Vacation tickers

Sunday, July 17, 2011

Wanita Dan Lelaki Yang Baik Itu Sebenarnya Untuk Siapa??

Bismillahirrahmanirrahim.....

Ramai di antara kita tahu tentang sebuah firman Allah yang menyatakan bahawa wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah ini boleh ditemui dalam surah an-Nur ayat 26 yang bermaksud:

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..” 



Dengan ini ramai di antara kita menggunakan ayat ini untuk menyatakan tentang hal-hal berkaitan jodoh. Tetapi ada sesetengah di antara kita kurang jelas dengan maksud ayat ini kerana pada pandangan mereka, ramai pasangan yang mereka temui tidak selalunya demikian. Ada lelaki yang baik tetapi berkahwin dengan perempuan yang derhaka. Ada juga perempuan yang baik tetapi si suami begitu zalim.

Untuk menjelas hal ini kita perlu memahami maksud sebenar ayat di atas. Ayat itu perlu dibaca sampai habis. Kita perlu tahu bahawa ayat di atas sebenarnya diturunkan bersempena peristiwa ‘Al-Ifki’, iaitu ketika Sayyidatina Aisyah r.a difitnah oleh puak-puak munafik di Madinah bahawa beliau telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu’attol.

Allah s.w.t. mempertahankan kesucian Aisyah r.a. dengan menegaskan bahawa jika benar-benar Aisyah itu jahat, beliau tidak akan didampingi orang yang baik-baik seperti Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Bahkan Rasulullah amat menyayaingi Aisyah.

Pengajaran yang kita dapat ambil dari ayat ini adalah hubungan baik seseorang itu bergantung kepada sikapnya sendiri. Jika dia seorang yang baik, mustahil dia akan bergaul dengan orang yang jahat dan begitulah sebaliknya. Seperti juga hubungan suami isteri. Wanita yang baik tidak akan bersama dengan suami yang jahat. Seandainya mereka telah dijodohkan bersama, mereka tetap tidak akan dapat bersatu. Sebab itu dalam Islam sendiri perceraian adalah perkara yang halal. Bukan haram. Meskipun begitu, ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah.

Ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengambil jalan terakhir untuk bercerai, tetapi seandainya kita boleh berusaha mengubah pasangan menjadi lebih baik, bersabar dan bertawakkal kepada Allah, maka hendaklah kita berusaha terlebih dahulu. Namun jika tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana sifat isteri yang sering derhaka atau suami yang terlalu zalim, maka bercerai adalah langkah yang jauh lebih baik dari membiarkan diri terseksa dan rumah tangga yang dipenuhi kemurkaan. Kerana tidak mungkin seorang yang baik itu akan bersama dengan seorang yang jahat. Inilah maksud yang kita perlu fahami.

Selain itu kita juga perlu jelas bahawa orang yang baik-baik jarang sekali mengaku dirinya baik. Memang kita semua akui bahawa kita mahu mencari yang terbaik sebagai pasangan hidup kita. Namun sekiranya kita adalah seorang yang berilmu, kita tidak seharusnya memandang hina pada orang yang kurang bernasib baik seperti kita. Jika  kita manusia yang alim, maka membimbing dan mentarbiah pasangan adalah tanggungjawab kita.

Saya hairan dengan sesetengah sikap manusia yang merasakan dirinya baik, punyai keluarga yang beragama tetapi memandang hina insan lain. Bagi mereka orang-orang yang tidak berlatarbelakang agama dan hidup dengan penuh sosial itu begitu hina dan tidak layak untuk mendampingi mereka. Perkara ini benar jika orang-orang itu tidak mahu berubah ke arah kebaikan dan ingin mengheret kita ke jalan maksiat. Tetapi tidak jika mereka mahu berubah, mereka ingin belajar tentang Islam dan ingin kembali kepada Allah. Mereka perlu diberi peluang untuk bersama kita menghayati keindahan Islam.

Namun sikap sesetengah manusia yang merasakan dirinya alim ini begitu mementingkan diri sendiri. Mereka mengabaikan manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Ada yang menjauhkan diri dari mereka, malah tidak kurang juga yang menghina. Tidak hairanlah diakhirat esok terdapat 3 golongan yang apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka, ahli neraka sendiri akan merasa hairan. Kerana 3 golongan ini kelihatan begitu alim sewaktu hidupnya tetapi siapa tahu, hatinya kotor!

Untuk mendapatkan yang terbaik, biarlah kita sendiri yang mengubah sikap menjadi yang terbaik. Sesiapa sahaja yang kita dampingi, samada baik atau jahat, kita mungkin tidak akan tahu. Elakkan diri dari memilih orang yang tidak sepatutnya namun elakkan juga dari bersangka buruk dan menghina orang lain. Kita diberikan akal untuk berfikir, maka buatlah pilihan yang baik.

Harus diingat, wanita semulia Asiah sendiri dijodohkan dengan Firaun yang begitu zalim. Seandainya kita ini sebaik dan semulia Asiah, kita juga masih belum layak untuk mengakui bahawa kita hanya layak menerima pasangan yang baik. Namun sebagai hamba yang disayangi-Nya, Allah tidak akan sesekali menzalimi kita.
Sebaik atau sejahat manapun pasangan yang kita terima setakat ini, itulah yang terbaik buat kita. Allah tidak pernah salah dalam aturannya. Namun untuk mencari yang lebih baik, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam ajarannya. Kita hanya perlu belajar dan mula mengamalkannya.

Wallahualam.....

Tiada Jodoh Bukan Kehendak Kita


Bismillahirrahmanirrahim.....
Gambar ini dipetik dari blog rakan sejak beberapa tahun yang lalu. Saya sudah lupa dari mana ia diperolehi. Namun saya ingin kongsikan gambar dan apa yang ingin saya sampaikan ini untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan untuk ingatan kepada diri saya juga.

Bacalah nasihat dari seorang ibu (my mama Puan Salmiah) ni. Renungkanlah Sedalam-dalamnya. Tiada jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.

Usia 28 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat solat. Allah mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat.
Biar lambat jodoh asalkan mendapat ‘Right Person’ dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki/perempuan yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia menjadi sebaliknya bila ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar suami atau isteri tidak usah berkahwin dulu.
Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.
Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.

Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. “
Seorang teman pernah berpesan..
“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa-rupanya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..” ”
“Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali.
Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.
Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada..
Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada…”
Semoga diriku mendapat jodoh yang diidamkan dan dirahmati Allah, amin…
Wallahualam.....